PENDAHULUAN
Dewasa ini masyarakat Islam Malaysia semakin peka
dengan isu yang melibatkan permasalahan hukum dalam kehidupan harian. Peningkatan ini boleh dilihat dengan ketara melalui
penglibatan persatuan-persatuan pengguna Islam yang membangkitkan isu-isu berkaitan. Selain itu keprihatinan masyarakat Islam
dalam memilih produk berlogo halal juga boleh dijadikan kayu pengukur yang tersendiri. Dalam hal ini, kita boleh lihat pendirian
Persatuan Pengguna Islam dalam berhadapan dengan isu kilang membuat mi di Pulau Pinang sedikit masa lalu. Hal ini telah memberi
gambaran bahawa tahap kesedaran masyarakat Islam di Malaysia semakin meningkat hari demi hari.
Pada masa yang sama,
produk kewangan Islam sudah mendapat tempat di hati pengguna sistem perbankan. Motto Bank Islam iaitu “Perbankan untuk
semua” bukan hanya impian dan omongan kosong sahaja. Sudah acapkali kita terserempak dengan orang bukan Islam berurusan
di kaunter-kaunter atau auto-teller machine (ATM). Malah peningkatan deposit dalam sektor kewangan Islam menjadi indikator
penting membuktikan perbankan Islam semakin diterima umum.